Sunday, March 20, 2011

Diskusi Buku 30 - 1515


Ceritanya bermula pada tahun 1511 masihi. Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pimpinan Albuquerque. Sebelumnya, Melaka adalah negeri yang sangat hebat. Rakyatnya taat kepada Islam. Namun, semasa kedatangan Portugis dengan tujuan peperangan, Melaka yang kuat secara zahir itu sangat lemah akibat sikap pimpinan dan rakyatnya yang tidak strategis dan kurang semangat jihad.

Nyemah Mulya seorang gadis 12 tahun yang menerima pendidikan agama, persenjataan, persilatan dan sebagainya adalah antara tokoh yang digelapkan oleh sejarah. Beliau berjaya mengubah sejarah. Memimpin pasukan tentera Melaka mematahkan kemaraan Portugis. Malah beliau meminta izin Sultan untuk berangkat dengan 100 bahtera perang berisi lebih 60,000 tentera untuk berangkat ke Lisbon. Dengan misi mengebumikan mayat Albuquerque yang dibunuhnya dan seterusnya menawan Portugal. Ia berlaku pada tahun 1515.

Jalan cerita novel ini amat menarik kerana menggabungkan beberpa latar masa yang saling berkait. 1511 adalah tahun Melaka diserang. 1515 adalah tahun kebangkitan kerajaan melayu Melaka. Dan tidak ketinggalan zaman moden di mana keturunan Nyemah Mulya, seorang sejarahwan terkenal yang turut memainkan peranan dalam menolong moyangnya dan membetulkan sejarah yang dipesongkan dan disembunyikan.


Strategi perang

Antara sebab buku ini perlu di baca adalah strategi perang yang diceritakan oleh penulis dalam novel ini.

Makar adalah strategi perang yang sangat licik. Nyemah Mulya meminta Sultan menyebarkan khabar angin dikalangan penduduk setempat bahawa tentera Portugis sudah berpecah belah. Satu golongan ingin pulang ke Negara asal kerana merasakan mustahil untuk menawan Melaka. manakala satu kumpulan lagi ingin meneruskan misi mereka. Khabar angin ini akhirnya sampai ke telinga tentera Portugis dan mereka benar-benar berpecah.


Musnahkan kemudahan yang dirampas. Salah satu strategi Portugis menawan Melaka adalah menumpukan serangan mereka di jambatan Melaka. Jambatan itu adalah penanda aras kekuatan tentera. Tertawannya jambatan tersebut akan memudahkan tentera naik ke darat, menyekat jalan utama keluar masuk Melaka dan memudahkan tertawannya masjid Melaka. Oleh itu, Nyemah Mulya mengarahkan tenteranya mempertahankan jambatan tersebut habis-habisan dan mengarahkan supaya membakarnya jika ia jatuh ke tangan musuh. (ia diaplikasikan oleh Saddam Hussain semasa Amerika menawan Iraq dengan membakar lombong minyak yang ada)

Pasukan berani mati. Tun Nyemah memilih beberapa ratus lelaki muda yang bersedia untuk mati syahid. Mereka dibekalkan dengan bahan letupan yang diletakkan di badan mereka. Misinya tidak mudah. Mereka perlu berakit ke arah kapal perang Portugis dan meletupkan kapal mereka. Sama ada meletakkan bahan letupan di kapal atau meletup bersama-sama.

Memohon bantuan. sebaik sahaja dilantik menjadi ketua turus perang, arahan pertama Nyemah Mulya adalah menghantar seramai 6 orang utusan untuk meminta bantuan tentera di semua negeri jajahan Melaka dan seorang utusan terus ke pusat pemerintahan Khilafah Islam Turki Uthmaniyyah.

~manusia dalam merancang masa depan perlu mempelajari sejarah (Ibnu Khaldun)
~kamsar, 19 mac 2011, 11.19pm

Catatan:
1. Tun Nyemah ada meminta bantuan Adi Fimiyun, cicitnya. Tidak pasti sama ada meminta bantuan betul-betul untuk merancang strategi perang atau untuk membetulkan sejarah yang dipesongkan.
2. Dalam suasana perang, sebak membaca. Terrrrharuuu… kalau lah betul semangat jihad orang melayu macam ni..
3. Di hujung cerita, Adi pergi ke satu tempat dengan Prof. Nyemah dan bertemu seorang imam. Imam tu kata, dia Nampak Adi dalam mimpinya. Dan babak itu tiada kesinambungan.
4. Buku lain Faisal tehrani: Bila Tuhan Berbicara, Tuhan Manusia, 1511H [KOMBAT], Detektif Indigo, Ikan Fugu, Lukisan & Jimson , dan Detektif Indigo Kembali.

Tajuk: 1515
Tebal: 312 mukasurat
Penulis: Faisal Tehrani
Harga: RM22.00
Kedai: MPH Jusco Taman Universiti Skudai
Penerbit: Utusan Publications & Distributors SDN. BHD 
 
sumber : kamsar bahron

Diskusi Buku 29 - Ahmadinejad : Singa Baru Dunia Islam



Sudah lama saya memerhati buku ini, namun hati tidak tergerak untuk memilikinya. Sejak awal lagi, saya membayangkan buku ini sarat dengan fakta-fakta tentang susuk bernama Mahmoud Ahmadinejad ini. Dalam minggu-minggu terakhir ini, saya ralit menguliti buku sejarah kejatuhan Daulah Uthmaniyyah dan Sultan Abdul Hamid II, juga buku sejarah politik Kelantan. Terasa seperti sudah melayang-layang di zaman silam, saya mengutip buku ini di Badan Cemerlang lewat 3 hari lalu, untuk terbang pula ke Iran.

Melihat tajuknya saja, saya fikir ia memuatkan riwayat dan perjalanan hidup serta bentuk pemikiran susuk hebat yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia. Anggapan saya sedikit tersasar, rupa-rupanya buku ini pergi lebih jauh ke dalam sejarah Iran, menerangkan secara ringkas suasana dan bentuk pemerintahan sebelumnya. Di dalam pemerintahan autokrasi Syah Iran, terdidik seorang manusia luar biasa bernama Mahmoud Ahmadinejad di hujung lorong mati jauh dari hiruk pikuk bandar Tehran.

Buku ini menyoroti sepintas lalu, dengan tulisan gaya kewartawanan penulisnya, sejarah kegemilangan dan kekuatan Negara Iran. Bahkan jauh sebelum itu semasa era Syah Iran bermaharajalela, renteta Revolusi Islam Iran 1979 bermula pembuangan negeri pemimpin ruhaniawan Ruhullah Khomeini ke Perancis sehinggalah kebangkitan dari dalam rakyat Negara Iran yang akhirnya berjaya menghimpunkan 4 juta rakyat Iran semasa menyambut kepulangan Khomeini saat revolusi berlangsung.

Buku ini juga menghidangkan pembaca dengan perkembangan-perkembangan kekuatan Negara yang dibina. Antaranya ialah Iran pernah mempunyai angkatan laut terbesar di Teluk Parsi dan kekuatan udara terbesar di Timur Tengah lewat 1970-an. Bahkan Iran memiliki angkatan bersenjata kelima terbesar di dunia dengan kelengkapan 800 buah helicopter, 707 pesawat pengangkut, 760 buah Chieftain Tank, 250 buah Scorpion, 400 buah M47 Tank, 460 buah M60 tanks dan sebuah Spruance (kapal pemusnah). 410,000 orang tentera bersiap sedia berkhidmat kepada Negara pada tahun 1977. Iran membina empayar ini hasil kekayaan perut bumi berupa minyak mentah yang meningkat naik harga pasarannya.

Era Rafsanjani melewati tahun 1990-an, pragmatism berada di puncak. Pembangunan mega tidak henti-henti menjadikan Iran sebuah Negara membangun mengejar standard Amerika Syarikat dan Negara Eropah yang lain.

Rentetan sejarah bagaimana tokoh dunia ini menaiki ‘takhta’ kerajaan Iran sungguh dramatik bagi saya. Bermula dengan tiada ‘poster di tiang elektrik’, keputusan untuk bertanding menjadi Presiden Republik Islam Iran diambil selepas desakan oleh kumpulan konservatif dan reformasi melalui organisasi Jurutera Komuniti Islam dan Ikatan Pengembang Islam Iran, seterusnya bertanding dengan kekangan kewangan yang mencengkam. Dengan menggunakan tema Revolusi Ketiga, rentetan dari Revolusi Islam Iran 1979, beliau mengalahkan 6 calon lain dalam Pilihanraya 2005, termasuk Akbar Hasyemi Rafsanjadi yang digelar Godfather politik Iran pasca Revolusi 1979.

Di awal buku ini, dimuatkan kisah bagaimana ketegasan dan kelembutan Tuan Presiden ini dalam melayani wartawan. Malahan tidak segan silu untuk menghantar utusan khas bagi meminta maaf dan menyampaikan cenderamata peribadi kepada wartawan itu. Saya kelu lidah apabila membaca kisah-kisah yang dilalui oleh Dr. Ahmadinejad semasa berhadapan dengan rakyatnya. Barangkali tidak terlalu keterlaluan apabila media menamakan beliau sebagai revolusioner Iran.

Semas berkunjung ke Indonesia, beliau ditanya oleh mahasiswa di sana mengapa Iran tidak menghasilkan senjata nuclear, sambil tersenyum Ahmadinejad menjawab, “Bagi kami sokongan anda dan para pemuda di dunia Islam lebih kuat daripada senjata nuklear. (muka surat 80)

Menyimpulkan seluruh isi buku ini dalam suatu tulisan ringkas, cukup sukar bagi saya. Mungkin gambaran-gambaran yang sedikit ini mampu membuatkan hati para pembaca tergila-gila untuk mengenali Iran dan sejarahnya dengan lebih akrab. Mungkin saya sudah terjebak. Barangkali tidak puas dengan buku ini, saya akan mencari-cari di Perpustakaan Sultanah Zanariah lanjutan buku-buku tentang sejarah Iran.

Sebaik ‘pulang’ dari Kelantan dan ‘kembali’ dari Turki, saya berkira-kira mahu terbang pula ke Iran buat memahami bagaimana rentetan Revolusi Islam Iran 1979 menjaya mendapat tempat di hari rakyat Iran. Adakah aura pemimpin mereka sangat menggila, atau sebenarnya rakyat mereka tidak dibodohkan dari awal seperti yang berlaku di Negara kita.

Satu perkara yang menjadi tidak menarik apabila dunia Islam beragui bahawa Islam akan bangkit bermula di Iran, hanya kerana majoriti penduduknya menganut fahaman Syiah. Semoga Allah merestui kebangkitan mereka yang dipimpin oleh pemimpin yang dekat dengan-Nya.


P.s :

Pembaca boleh mengikuti kehebatan luar biasa Presiden Iran keenam ini melalui blog Tuan Dr. Faisal Tehrani.

sumber : hafizhilmi

Diskusi Buku 28 - Ilmu Pengaruh





Sekian lama saya melihat Tuan Syahrul Nizam mengikuti perkembangan tulisan-tulisan di facebook saya meskipun tulisan itu ada yang tidak meningkatkan daya fikir. Rupanya saya berhadapan dengan orang yang hebat dan terkenal, Tuan Syahrul Nizam atau selayaknya saya anggap beliau sebagai seorang ayah, merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak, bahkan pernah menuntut di United Kingdom dalam bidang Komunikasi Media (Sarjana).

Cukup kerdil rasanya untuk saya menulis komentar berkenaan buku beliau bertajuk Ilmu Pengaruh : Bukan Jampi Tetapi Seni.

Buku ini cukup baik untuk mereka yang mahu membina potensi diri dari sudut pengaruh diri dalam sesuatu organisasi. Ada dua sisi, memilih untuk menjadi pemimpin dan mempengaruhi ahli dalam organisasi atau memilih untuk menjadi orang yang berpengaruh dan diangkat menjadi pemimpin dalam sesuatu organisasi. Dalam buku ini ada menerangkan taktik-taktik secara konsep untuk menjadi individu berpengaruh dan dapat dipraktikkan dalam apa sahaja medan yang diceburi. Apa yang perlu untuk menjadi individu berpengaruh ialah bukan duit, pangkat, dan jawatan tetapi ia melibatkan teknik-teknik menguasai emosi dan sumber-sumber dalaman yang sudah tersedia ada dalam diri seseorang.

Saya cukup tertarik dengan huraian tentang kemahiran menguasai emosi kumpulan sasaran untuk dipengaruhi. Lihat bagaimana sesebuah lagu itu diminati oleh pendengar untuk jangka masa yang panjang (evergreen), saya fikir ada unsur emosi yang terdapat dalam lagu tersebut. Jika dibandingkan dengan lagu-lagu baru yang ada pada hari ini, tidak banyak yang diisi dengan sentuhan emosi yang selari dengan mesej yang ingin disampaikan dalam liriknya. Ketandusan sentuhan emosi inilah yang menyebabkan lagu-lagu pada hari ini sekadar seperti angin lalu, dan tidak mampu bertahan lama dalam pasaran peminat.

Contoh yang boleh dibawa ialah apabila kita mendengar lagu-lagu P Ramlee, seperti lagu Pok Pok Bujang Lapuk (unsur humor) dan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti (emosi sedih). Iramanya cukup sarat dengan elemen emosi atau perasaan yang membuatkan liriknya dinyanyikan dengan penuh makna. Begitu juga lagu yang dicipta oleh Pak Ngah dalam genre lagu Melayu asli. Keaslian lagu Melayu masih kekal dalam setiap lagunya kerana ada unsur emosi atau perasaan yang mengiringi lirik. Tidak hairan jika telinga kita masih boleh melayan lagu-lagu lama Siti Nurhaliza dan Noraniza Idris walaupun lagu itu dicipta sejak 10 tahun yang lalu. Jika diterap unsur emosi dan perasaan, ia akan terus hidup!

Begitu juga dalam proses menyampaikan arahan, ucapan, doktrin dan propaganda. Unsur emosi dan perasaan harus seiring buat menghidupkan mesej tersebut. Anwar Ibrahim menggerakkan kempen reformasi 1998, dengan membangkitkan sentimen rakyat (emosi). Dalam ucapan-ucapan beliau, isu fitnah yang dilempar kepada beliau, kepincangan perjalanan proses undang-undang di mahkamah, dan isu rasuah dan penyelewengan yang berlaku, beliau telah menyimpulkan semua isu ini sebagai; “Ini bukan isu Anwar. Ini adalah isu kepincangan sistem kenegaraan dan rakyat harus bangkit!” Kebangkitan ini dilingkungi oleh unsur emosi yang membuak-buak dalam kalangan rakyat. Maka tidak hairan jika Anwar merupakan tokoh yang berpengaruh di seluruh peringkat masyarakat, bahkan di seluruh dunia.

Banyak lagi teknik-teknik yang Tuan Syahrul Nizam telah gariskan selain daripada permainan emosi, antaranya ialah kaedah memujuk yang menjadi isi utama perbincangan buku ini. Banyak perkara-perkara baru yang diperoleh daripada buku ini terutamanya hasil-hasil kajian dan petikan-petikan dari tokoh yang terkenal dari seluruh duina. Terbuki penulisnya mempunyai maklumat luas dengan merujuk sumber yang pelbagai berkenaan dengan kemahiran komunikasi lalu diterjemah sebagai teknik menjadi individu berpengaruh dan teknik mempengaruhi orang lain.

Siapa yang belum beli, mesti beli!


P.s:

Menjadi individu berpengaruh atau menjadi individu yang mampu mempengaruhi orang lain adalah dua benda berbeza. Tekniknya saja sudah jauh berbeza dan saya fikir ia boleh dihuraikan dengan lebih lanjut.

Memiliki kemahiran untuk elakkan diri dari dipengaruhi oleh orang lain, juga merupakan ilmu pengaruh?

Saya berkira-kira untuk menulis perbezaan antara buku self-help (bantu diri) yang ditulis oleh penulis antarabangsa dan penulis tempatan.
 
sumber : hafizhilmi

Sunday, November 28, 2010

Peraduan Mengulas Novel Dewasa dan Sejarah Islam

Anda peminat tegar buku terbitan PTS? Memiliki koleksi novel dewasa dan sejarah Islam PTS yang bertimbun-timbun di rumah? Mari kongsikan pendapat, komen, perasaan anda terhadap buku PTS yang sudah dibaca.Sertai Peraduan Mengulas novel dewasa dan sejarah Islam yang bermula 29 November hingga 19 Disember 2010 ini.

Cara menyertai peraduan ini sangat mudah. Anda cuma perlu lawati laman web PTS di www.pts.com.my. Kemudian, cari buku yang ingin diulas dan tulis ulasan anda di ruang yang disediakan.

Tempoh Peraduan

Peraduan berlangsung selama 3 minggu bermula dari 25 Oktober hingga 14 November 2010.
Tarikh ulasan mengikut minggu seperti berikut:
Minggu Pertama : 29 November 5 Disember 2010
Minggu Kedua : 6 Disember hingga 12 Disember 2010
Minggu Ketiga :13 Disember hingga 19 Disember 2010

Kategori Ulasan Buku

Novel Dewasa dan Sejarah Islam

Hadiah

Hadiah dibahagikan kepada 2 kategori:

1. Hadiah Mingguan

Setiap minggu, PTS akan memilih 3 pemenang bagi novel
Hadiah mingguan adalah seperti di bawah:Tempat pertama - hadiah buku PTS bernilai RM50
Tempat kedua - hadiah buku PTS bernilai RM40
Tempat ketiga - hadiah buku PTS bernilai RM30

2. Hadiah Utama

Sebaik berakhirnya peraduan, PTS akan memilih 3 peserta peraduan yang paling banyak menghantar ulasan buku PTS.

3. hadiah utama seperti berikut:

Tempat pertama - hadiah buku PTS bernilai RM200
Tempat kedua - hadiah buku PTS bernilai RM150
Tempat ketiga - hadiah buku PTS bernilai RM100

* Pemenang boleh memilih sendiri buku PTS tetapi nilai buku tidak boleh lebih daripada nilai yang ditetapkan.* Kos penghantaran ditanggung oleh PTS. Proses penghantaran hadiah akan mengambil masa lebih daripada dua minggu.* Hadiah minggu akan dihantar sebaik PTS menerima senarai buku yang dikehendaki oleh pemenang setiap minggu. Proses penghantaran hadiah sekurang-kurangnya dua minggu selepas PTS menerima senarai buku yang dikehendaki pemenang.* Penghantaran dibuat menggunakan pos biasa.

Syarat

1) Peraduan terbuka kepada warganegara Malaysia berumur 7 tahun dan ke atas.2) Ulasan buku hendaklah dibuat menggunakan bahasa Melayu standard sahaja.3) Setiap ulasan buku hendaklah tidak kurang daripada 50 patah perkataan.4) Staf PTS termasuk ahli keluarga terdekat (ibubapa, anak-anak dan adik beradik) tidak layak menyertai peraduan ini.5) Penulis PTS layak menyertai peraduan ini tetapi tidak boleh mengulas buku sendiri terbitan PTS.6) Setiap peserta hanya layak menang satu sahaja hadiah mingguan yang ditawarkan sepanjang peraduan ini.Cara:

1) Peserta perlu melayari Portal PTS di www.pts.com.my
2) Cari buku yang anda hendak buat ulasan dengan menaip judul buku pada ruang carian.
3) Klik pada judul buku yang terpapar pada halaman carian.
4) Klik pada tab ulasan pembaca.
5) Taip nama penuh dan e-mel yang sah
6) Kemudian tulis ulasan dalam ruang yang disediakan.
7) Kemudian klik hantar
8) Panel penilai akan menilai ulasan buku yang dihantar mengikut minggu yang ditetapkan.
9) Pemenang mingguan akan diumumkan pada tarikh seperti yang ditetapkan.
10) Pemenang akan dihubungi melalui e-mel yang diisi.

Sumber : PTS

Tuesday, November 9, 2010

Usrah Bersama Dr Covey: Kerja Hebat Kerjaya Hebat

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT.

Selawat dan salam buat Junjungan Rasulullah yang tercinta.

Great Work, Great Career. Tulisan Dr Stephen Covey dan Jennifer Colosimo. Buku ini sudah diterjemah oleh PTS dalam bahasa Malaysia. Tajuknya; Kerja Hebat, Kerjaya Hebat.

Kenapa buku  ini?


Ingin menambahkan RASA keberadaan diri dalam JEMAAH (ORGANISASI).

Jika anda orang yang rasa;

Ala… Saya tak datang meeting pun takpa kan?

Saya tak hadir usrah pun bukannya ada effect apa-apa. Saya lewat pun, nasib saya datang tau!

Saya tak perlu cadangkan apa-apa…. Saya perlu ikut je. Yang penting saya join!

Buku ini memberi ubat kepada golongan-golongan yang hanya suka ‘menempel’ dalam organisasi.
Walaupun buku ini tidak ditulis secara fokus merujuk jemaah (organisasi dakwah), tetapi mereka yang membacanya insya Allah boleh membuat perkaitan mudah.

Penulis utamanya iaitu Dr Steven Covey, beliau lebih merujuk akan kerjaya dalam syarikat.

Saya amat bimbangkan beberapa fenomena. Terutamanya kepada golongan-golongan terpelajar yang ditarbiyyah begitu ‘canggih’. Berbelas-belas siri latihan dengan mengharapkan mereka inilah yang akan menghasilkan sinergi serta energi baru kepada organisasi setelah bergraduasi. Tetapi kerana budaya ‘cukuplah dengan ini’, maka potensi serta bakat itu mati begitu sahaja.

Saya percaya dan pakar-pakar percaya termasuklah Dr Covey bahawa setiap manusia mampu menjadi ‘individu unik’ dalam jemaah (Organisasi).

Individu unik—Dalam bab ini, antaranya Dr. Covey menyebutkan; Apabila diajukan soalan, “Apakah kerja kamu?”, kamu tidak sepatutnya menjawab dengan gelaran atau jawatan semata-mata. Tetapi sepatutnya dijawab dengan kenyataan tanggungjawab peribadi dalam organisasi.

Mari tutup mata sebentar.

Tanya balik soalan  itu kepada diri sendiri. Sekarang ini apakah kita boleh menjawab apa tanggungjawab peribadi dalam organisasi dakwah yang kita sedang dokong?

Saya terinspirasi serta kagum dengan teman-teman yang sudah membuktikan keunikan mereka.

“Menjadi sukarelawan, dan bukan Pekerja”!

Pekerja mempunyai huraian kerja vs Sukarelawan memiliki perjuangan.

Huraian kerja datangnya dari luar iaitu dari majikan (dalam konteks jemaah, pimpinan). Manakala perjuangan bersifat dalaman. Iaitu dari dalam diri sendiri dan kita secara PROAKTIF menawarkan diri kepada perjuangan itu.

Motivasi kerja datangnya dari luar (tunggu arahan pimpinan dan sebagainya), manakala motivasi perjuangan datang dari dalam diri sendiri.

Kadang-kadang ada orang sudah ada perjuangan dalam diri, dan beliau sebenarnya mampu individu yang unik dalam jemaah kerana potensi yang ada. Organisasi sangat-sangat memerlukannya keberadaannya.

Cuma…..

Perjuangan yang mahu digagaskan terlalu ‘melangit’ ke udara!

Akhirnya dia juga tergolong dalam mereka yang ‘menempel’ dalam organisasi. Sebab apa? Sebab dia rasa orang lain tidak berfikir sehebatnya. Paradigma orang lain masih ditakuk yang lama katanya.
Dr Covey menegur mereka yang seperti ini.

Berfikir dan Bekerja adalah dua situasi yang berbeza.

Kalau nak berfikir melangit, berfikirlah sampai ke planet Pluto sana…. Takpa. Memang kita mahu mereka-mereka yang mampu meneroka dunia angkasa raya idea.

Tapi bekerja kata Dr Covey, bekerjalah dalam bulatan pengaruh (circle of Influence) bukannya bulatan keprihatinan (circle of Concern).

Ada seorang sahabat kata, berfikir biar melangit tapi bertindak biar membumi.

Bank Emosi (ukhuwwah).

Akaun dalam Bank Emosi ini perlu dijaga betul-betul. Ia metafora perhubungan sesama sahabat. Kata Dr Covey, sentiasalah membuat deposit dalam akaun bank emosi. Simpanan yang banyak diperlukan apabila berlaku ‘kesilapan’ dengan membuat transaksi kredit dari bank emosi.

Bayangkanlah akaun yang kosong? Mampukah ia kreditkan sesuatu ketika diperlukan untuk mengimbangkan suatu ‘kesilapan’??

Fikir-fikirkan berapa banyak akaun emosi yang telah kita labur sekarang.

Akhir sekali, Insya Allah…

Mari sama-sama “topup” rasa keberadaan diri dalam jemaah (organisasi).

Menjadi individu yang sering memberikan ‘sumbangan unik’ yang maha penting dan tepat pada masa dan keperluannya.

Mengikis budaya ‘cukuplah setakat ini sumbangan perjuangan saya’.

Siiru ‘ala barokatillah!


Mohamad Zul Hilmey bin Makmud
Mantan Naib Presiden PMIUTM 2007/2008
Mantan Setiausaha Agung PMIUTM 2006/2007